Media Permata Brunei: Pelumba negara tidak mengecewakan
- Mohamad Asyramisyanie
- Aug 28, 2017
- 2 min read
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Ogos – Para pelumba bot laju negara di Kejohanan Perlumbaan F3000 International Powerboat Championship yang berlangsung pada 24 hingga 26 Ogos di Terengganu, Malaysia, berjaya meraih tempat kedua bagi Kategori ‘Feature Race’ dan tempat ketiga bagi ‘Drag Race’.
Penyertaan di negeri pantai timur Semenanjung Malaysia ini adalah yang pertama bagi Haji Nordin bin Haji Mohamad dan ketika dihubungi menyatakan rasa bersyukurnya atas kejayaan berkenaan.
Setiausaha Agung Persatuan Bot Laju Brunei Darussalam, Hajah Siti Aisah binti Haji Abdul Jalil, selaku ketua delegasi bot laju Brunei di sana, menyatakan perasaan gembiranya apabila melihat pelumba negara naik ke podium.
“Kami sangat gembira untuk membawa nama negara dan sekali gus mengharumkan nama Negara Brunei Darussalam dalam sukan powerboat. Justeru, terima kasih kepada pasukan yang berkerja keras dan memberi semangat,” ujarnya.
Menurutnya, antara cabaran dalam penyertaan itu adalah dengan adanya ramai peserta dari luar negara seperti Brazil, New Zealand, Singapura dan negeri-negeri dari Malaysia yang lebih berpengalaman dalam mengendalikan bot pantas.
“Kami menang dalam ujian masa, walaupun bot kami kurang bertenaga tapi kami dapat tempat ketiga, kami membuat sasaran untuk berada di barisan hadapan. Alhamdulillah apa yang kami sasarkan berjaya dicapai dan sekali gus mendapat kedudukan yang kedua untuk Feature Race,” ujar Hajah Siti Aisah ketika dihubungi.
Mewakili delegasi negara di sana, beliau mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Jabatan Belia dan Sukan, Majlis Olimpik Brunei Darussalam, pihak penganjur F3000 Robert Fernandez dan juga pasukannya yang banyak bekerja keras di kejuaraan itu.
Menurutnya lagi, para pelumba negara berjaya melengkapkan perlumbaan dengan baik dan sewajarnya diberikan pujian atas penyertaan mereka kali ini.
“Rancangan seterusnya akan menyertai kejohanan yang akan diadakan di Kuala Lumpur, Malaysia dan di Papar, Sabah,” ujarnya mengulas mengenai perancangan pasukan seterusnya.
Beliau juga menegaskan komitmen pelumba untuk menyertai mana-mana perlumbaan serantau, antaranya di perlumbaan Borneo bagi Kategori 40HP dan SST60 tidak lama lagi.
“Di masa akan datang, kami mengharapkan pihak Majlis Olimpik dan Jabatan Belia dan Sukan akan terus memberi kami sokongan, di mana kami boleh mengharumkan nama negara lagi dan kami ingin menyertai perlumbaan di Australia dan New Zealand,” tambahnya.
Beliau menyatakan rasa bangga melihat pasukan kita bersatu hati dan menasihati pemandu-pemandu untuk terus bersemangat tinggi bagi mencapai kejayaan di kejohanan itu demi negara.







Comments